Tapir Malaya di TBNSA hampir pupus

Gadafi (tiga dari kanan) bersama pengunjung TBNSA meletakkan ‘thumb-marking’ pada replika Tapir ketika perasmian #SayangMyTapir Sabtu lalu.

Gadafi (tiga dari kanan) bersama pengunjung TBNSA meletakkan ‘thumb-marking’ pada replika Tapir ketika perasmian program #SayangMyTapir, Sabtu lalu.

Populasi Tapir Malaya (Tapirus Indicus) di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) kian kritikal kesan dari aktiviti pembangunan yang pesat di Shah Alam.

Pengarah TBNSA, Mohamad Gadafi Denis berkata hasil perangkap kamera yang dipasang oleh Jabatan Perhilitan baru-baru ini mendapati bilangan tapir yang hidup di taman botani ini merosot dari 10 ekor kepada dua ekor tapir sejak tahun 2005.

“Dari tahun 2005 hingga tahun 2013, terdapat empat ekor tapir mati dilanggar kenderaan di Jalan Batu Arang-Puncak Alam yang mana kesemua haiwan berkenaan berasal dari taman ini.

“Perhilitan kini dalam usaha menangkap baki tapir yang ada di taman ini untuk dipindahkan ke Pusat Konsevasi Hidupan Liar Sungai Dusun bagi menyelamatkan baki haiwan berkenaan,” jelas Gadafi ketika majlis perasmian program #SayangMyTapir disini.

Program tersebut diadakan bersempena dengan sambutan bulan kesedaran Tapir Malaya yang disambut pada bulan April setiap tahun.

#SayangMyTapir merupakan inisiatif pihak TBNSA untuk mendidik masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang mahluk unik itu yang semakin diancam kepupusan.

Menurut Gadafi, TBNSA seumpama pulau sahaja kerana dikelilingi pembangunan seperti Bukit Bandaraya, Meru, Puncak Alam, Bukit Jelutong dan taman botani ini merupakan satu-satunya rezab hutan simpan yang ada di Shah Alam.

“Tema #SayangMyTapir diangkat supaya generasi muda kenal dan tahu mengenai haiwan terancam ini yang berada dalam negara ini khususnya di sebuah bandaraya pesat membangun seperti di Shah Alam,” katanya lagi.

Pelbagai aktiviti yang diadakan di TBNSA bersempena dengan #SayangMyTapir seperti pameran, program ceramah dari pihak Perhilitan, permainan interaktif, aktiviti mewarna/melukis, permainan keluarga, mini zoo, dan trak makanan juga disediakan.

Menurut rekod, pada Disember tahun lepas, kerajaan Malaysia telah meminjamkan dua ekor Tapir Malaya kepada Kerajaan Jepun untuk tempoh 10 tahun menerusi Program Konservasi Tapir Malaya.

Hasil program tersebut, seekor tapir jantan telah dilahirkan pada 14 Mac di Nagasaki Biopark, Jepun.
Tapir Malaya juga dikenali sebagai Badak Lampong, Tenuk atau Cipan merupakan spesis tapir terbesar di dunia dan haiwan spesis ini boleh didapati di Kemboja, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia – Dimensi

Artikel Berkaitan