Polis nafi kes 15 buah kereta dipecah

ACP Shafien Mamat menasihatkan agar penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga harta persendirian kerana harta persendirian adalah tanggungjawab penduduk sendiri

Polis menyifatkan maklumat berhubung kejadian pecah dan samun 15 kenderaan di Seksyen 12  baru-baru ini sebagai palsu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

“Dalam tempoh terdekat ini, kami tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian pecah kereta dan samun seperti mana yang diviralkan di media sosial,”ujarnya.

Shafien mengulas tindakan tidak bertanggungjawab pengguna media sosial berhubung kejadian pecah dan samun kereta di bandaraya ini yang melibatkan kerugian berjumlah lebih RM10,000 kepada mangsa terlibat.

Maklumat yang disebarkan melalui  aplikasi Whatsapp itu turut mendedahkan kerugian yang dihadapi mangsa terbaharu yang dikatakan kehilangan beberapa unit komputer riba.

Jelas Shafien lagi, penduduk tidak perlu khuatir dengan khabar angin tersebut sebaliknya merujuk kepada pihak polis bagi mendapatkan sebarang pengesahan.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika mahu meninggalkan kenderaan masing-masing di tempat awam.

“Saya sarankan agar orang ramai tidak meninggalkan barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan Smart Tag di dalam kenderaan.

“Kecuaian meninggalkan barang-barang tersebut sebenarnya ibarat mengundang penjenayah untuk bertindak agresif memecah kenderaan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan