G-Halal Mart buka peluang kepada usahawan Muslim

G-Halal Mart hanya memasarkan produk halal yang dikeluarkan pengeluar muslim dan bukan daripada pengeluar bukan Islam. Gambar: Milagro Coffee, Kopi Patawali.

G-Halal Mart membuka peluang kepada usahawan muslim di Malaysia untuk memasarkan produk mereka melalui sistem tanpa caj yang diperkenalkan di premis ini.

Pengurus Besar G-Halal Mart, Hassan Jureme berkata kos tinggi yang diperlukan untuk pemasaran produk menyebabkan beliau berasa komited untuk membantu golongan Melayu Muslim memasarkan produk mereka ke seluruh negara tanpa mengenakan sebarang caj.

“Produk Melayu Muslim begitu banyak dikeluarkan tetapi sukar untuk memasuki pasaran ekoran kos yang tinggi diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Rasmi G-Halal Mart di Wisma Hj. Jacob di sini.

Perniagaan yang dimiliki Muslim Hub Resources ini menjadi jenama baru dalam sektor peruncitan halal yang semakin berkembang di negara ini.

Tambah Hassan lagi fokus utama G-Halal Mart adalah untuk memartabatkan produk Melayu Muslim halal di kalangan pengeluar dan pengguna di seluruh negara di samping  meningkatkan ekonomi masyarakat Muslim.

“Kami hanya mengambil produk halal yang dikeluarkan oleh pengeluar Muslim sahaja dan tidak mengambil produk halal yang dihasilkan pengeluar bukan Muslim,” katanya lagi.

Tambahnya, G-Halal Mart akan memberi lebih perhatian di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Muslim bagi mengembangkan produk mereka.

G-Halal Mart ini mensasarkan pembukaan empat lagi cawangan di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor – Dimensi

Artikel Berkaitan