Ibu bapa bimbang kesihatan anak terjejas

Cuaca panas dan kering yang kini berlaku di seluruh Semenanjung di jangka berterusan hingga awal April.

Cuaca panas melampau dan kering mencecah sehingga 40 darjah celcius yang melanda negara pada awal bulan ini mengundang kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak mereka.

Tinjauan wartawan Dimensi di beberapa sekolah sekitar Shah Alam, mendapati rata-rata ibu bapa berasa risau dengan kesan cuaca panas terhadap kesihatan anak mereka.

Menurut Osman Nordin, 49, beliau sentiasa memastikan bekalan air yang mencukupi kepada anaknya yang sedang menuntut di tingkatan lima di sebuah sekolah di bandar ini.

“Saya juga turut menyediakan payung atau topi kepada anak saya sebelum dia pergi ke sekolah supaya dia tidak terdedah kepada cuaca panas dan sehelai kain supaya dapat dibasahkan bagi menyejukkan badan,” kata Osman.

Cuaca panas melampau yang dikenali sebagai El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.

Manakala Herman Hassan, 48, berkata anaknya, Sarman Herman, 17, yang aktif dengan sukan ragbi dan gemar melakukan aktiviti luar bersama-sama rakannya, mula menunjukan simptom.

“Sejak kebelakangan ini anak saya kerap letih apabila pulang daripada kegiatan sukan di sekolah dan lebih menghabiskan masa di rumah berbanding keluar berjumpa dengan rakan-rakannya seperti kebiasaan.

“Oleh kerana bimbang terkena strok haba jadi saya nasihatkan beliau untuk mengurangkan aktiviti di luar dan duduk berehat di rumah bagi mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi SPM yang bakal tiba tidak lama lagi,” jelas Herman.

Beliau juga memastikan agar anaknya banyak minum air selain membekalkan makanan tambahan seperti vitamin sebelum pergi ke sekolah bagi mengelakkan anaknya daripada jatuh sakit.

Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan garis panduan kepada pihak sekolah dengan menyarankan agar mereka mengurangkan aktiviti fizikal di luar berikutan fenomena ini.

KPM juga meminta agar pihak sekolah menggalakkan murid membawa air minuman dan mengawal selia penyediaan dan penjualan minuman di kantin bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Cuaca panas dan kering yang kini berlaku di seluruh Semenanjung di jangka berterusan hingga awal April ini dan orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada berikutan cuaca panas yang boleh memberikan tekanan fizikal kepada tubuh manusia dan sekiranya menjejaskan tahap kesihatan seseorang – Dimensi News

Artikel Berkaitan