Penutupan akhbar perkara biasa – Dr Chamil Wariya

Muka depan edisi terakhir akhbar The Independent Ahad pada 20 Mac lalu. Gambar dari Independent on Sunday closes with a 'lights out' headline

Tindakan beberapa syarikat akhbar tempatan dan antarabangsa menutup operasi mereka dilihat sebagai satu amalan biasa dalam industri media.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kewartawanan Malaysia, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, hal ini berlaku kerana mereka gagal memenuhi kehendak pembaca dan juga pemegang taruh yang lain untuk menyediakan kandungan yang berkualiti.

Katanya, isi kandungan adalah aspek utama yang menentukan turun naik jualan sesuatu akhbar.

“Sebagai contoh, penerbit Daily Mirror mengumumkan penerbitan akhbar baharu, New Day beberapa minggu selepas mengalami kemerosotan pembaca berikutan isi kandungannya yang begitu cenderung kepada isu-isu politik yang kurang mendapat perhatian pembaca masa kini.

“Akhbar New Day itu disifatkan lebih mengutamakan pandangan pembaca dan bebas pada kecenderungan terhadap mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau mengulas penutupan versi cetak akhbar The Independent yang kini beralih sebagai portal berita dalam talian berikutan penjualan kurang memberangsangkan iaitu kira-kira 40,000 naskhah sehari berbanding lebih 400,000 naskhah pada awal penubuhannya.

Pemilik The Independent, Evgeny Lebedev yang mengumumkan penutupan tersebut berkata dunia kewartawanan telah berubah di luar pengiktirafan dan akhbar itu harus turut berubah.

Akhbar British itu kali terakhir diterbitkan pada 20 Mac 2016 lalu dengan tajuk muka depan Lights Out’ (Lampu Padam) sebagai simbolik ‘Earth Hour’ dengan berlatarbelakangkan pemandangan malam bandar Shanghai yang suram sekali gus mengakhiri sejarah penubuhan akhbar itu untuk versi cetak selama hampir tiga dekad.

Di Malaysia, situasi sama turut dihadapi beberapa portal berita seperti The Malaysian Insider dan The Rakyat Post.

Laporan Biro Audit Pengeluaran (ABC) Malaysia dalam laporan jualan akhbar tempatan antara Januari hingga Jun 2015 memperlihatkan kemerosotan bagi rata-rata akhbar tempatan berbanding laporan dalam tempoh sama dua tahun sebelumnya.

Tambah Dr. Chamil lagi, biarpun disaing hebat media digital, industri persuratkhabaran di negara ini dijangka terus stabil untuk tempoh 20 ke 30 tahun lagi.

“Akhbar versi cetak akan terus bertahan. Inilah yang saya katakan sebagai peaceful existence (kewujudan yang harmoni) antara dunia maya (berita dalam talian) dan dunia nyata (akhbar cetak),” jelasnya – Dimensi News