Geremy Jr baka arnab terbaik Kiut Miut Fiesta 2016

Gelagat Geremy Jr dan pemiliknya Nik Ahmad Farid, selepas dinobat "Best in the show".

Geremy Jr, arnab dari baka Netherland Dwarf merangkul gelaran “Best in Show” selepas menumpaskan  83 arnab lain dalam pertandingan arnab hiasan, dalam Kuit Miut Fiesta 2016 di sini, semalam.

Sementara itu, arnab dari baka Dutch pula telah dinobatkan “Best Reserve in Show”.

Program anjuran Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA) dengan kerjasama Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), telah berlangsung di Balai Pelawat Taman Botani Shah Alam.

Menurut Setiausaha MARBA, Kamarulazwa Mohammad, Kiut Miut Fiesta ini merupakan program pertama persatuan itu untuk tahun ini.

“Program ini bukan sahaja dapat mengumpulkan pencinta dan pemilik arnab hiasan, malah kita harap program ini dapat memberikan ilmu pengatahuan kepada orang ramai tentang haiwan comel ini,” kata Kamarulazwa.

Pertandingan arnab hiasan tersebut telah diadili oleh Cheryl Blackman, pakar professional dari Persatuan Arnab Amerika (ARBA) yang diterbangkan khas dari Texas, Amerika Syarikat.

“Segala aktiviti persatuan kita dipantau rapi dan diiktiraf oleh ARBA,” katanya lagi.

Pada pertandingan arnab hiasan kali ini berjaya mengumpulkan hampir 100 arnab yang terdiri dari 19 jenis baka seperti  American Fuzzy Lop, English Angora, Netherland Dwarf, Holland Hop, Havana dan Mini Rex.

Sementara itu, Pengarah TBNSA, Muhammad Gaddafi berkata, program seperti ini merupakan antara usaha pihak TBNSA yang dianjurkan khas untuk pengunjungb ke taman itu.

“Kami berharap pengunjung yang hadir ke taman ini, bukan sahaja datang untuk beriadah malah dapat menimba ilmu dan mempelajari sesuatu untuk dibawa pulang”, kata beliau dalam ucapan perasmian – Dimensi News

Artikel Berkaitan