Program Robotik Selangor 2016 libatkan 50 sekolah

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad - Sumber: The Star

Sebanyak 50 buah sekolah rendah dan menengah terlibat dalam Program Robotik Selangor 2016 bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata seramai 20 hingga 30 pelajar dari setiap sekolah terutama yang kurang berkemampuan akan dipilih menyertai program berkenaan yang memulakan sesi pertama secara rasmi hari ini.

Beliau berkata Program Robotik Selangor 2016 yang dijalankan dengan kerjasama Creative Minds, sebuah pusat latihan robotik bertauliah itu dapat mendedahkan pelajar kepada konsep pembinaan robot secara praktikal.

“Kita amat berharap program ini dapat menajamkan lagi kebolehan anak muda di Selangor terutama dalam kemahiran menyelesaikan masalah dan mempertingkatkan kemahiran berfikir secara kritikal,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya program berkenaan juga dilihat dapat memberikan pendedahan awal kepada pelajar untuk mendalami kerjaya berkaitan bidang Matematik dan Sains.

Sementara itu, pengasas dan pengetua Creative Minds, Muhammad Shafiq Shahrul Amar berkata pelaksanaan program berkenaan bertepatan dengan perubahan teknologi semasa, yang mana Selangor dilihat masih kurang melahirkan bakat dalam bidang berkenaan.

Katanya peserta yang dipilih berumur tujuh hingga 17 tahun akan melaksanakan aktiviti antaranya melibatkan sensor asas robotik dan konsep pengaturcaraan robotik.

Sumber: BERNAMA

Artikel Berkaitan