Stadium Shah Alam digunakan semula April ini

Amirudin Shari - Sumber: Sinar Harian

Stadium Shah Alam yang kini dalam proses baik pulih dijangka boleh digunakan semula pada perlawanan Piala Super antara Selangor dan Kedah, 5 April ini.

Pengurus Persatuan Bola Sepak Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya yakin proses penggantian rumput jenis ‘cow grass’ membabitkan kos RM200,000 ketika ini akan selesai menjelang 19 Mac depan.

“Kita bukan tanam rumput sahaja, kita turut ganti tanah di bawah rumput itu dengan memasang bahan tertentu untuk kukuhkan akar apabila rumput ditanam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan proses penggantian rumput di stadium itu di sini, hari ini.

Stadium Shah Alam yang mampu menampung 80,000 penonton ditutup untuk proses baik pulih bermula Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Amirudin berkata pihaknya berdepan sedikit cabaran apabila terpaksa menjaga rumput berkenaan dengan lebih rapi berikutan cuaca panas ketika ini.

Amirudin yang juga anggota Exco Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor berkata pihaknya juga sedang dalam proses menambah baik sistem pencahayaan lampu di stadium berkenaan daripada 1,200 lux ketika ini kepada 2,000 lux.

Sementara itu, ditanya mengenai prestasi pasukan ‘Red Giants’ yang dilihat tidak konsisten pada masa ini, Amirudin berpendapat masih terlalu awal untuk menilai prestasi jurulatih dan pemain pasukan yang menjuarai Piala Malaysia musim lepas.

“Kita catatkan keputusan jauh lebih baik daripada musim lepas, di mana selepas lima perlawanan liga musim lepas, Selangor hanya dapat lapan mata tetapi kali ini kita telah catatkan 10 mata,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan serta pemain supaya tidak berasa selesa kerana ia boleh menghukum pasukan terutama pada kedudukan Liga Super.

“Selepas ini, format Piala Malaysia akan diubah di mana selepas 11 perlawanan (Liga Super) akan mula pula saingan Piala Malaysia, jadi mungkin ada yang terperanjat tetapi sebagai pemain, jurulatih dan pasukan profesional kita kena adaptasi hal ini sebaik mungkin.

“Jurulatih kecergasan serta jurulatih kena atur rancangan dengan baik dan pemain juga kena ada disiplin termasuk rehat mencukupi untuk musim ini yang masih lagi panjang,” katanya.


Sumber
: BERNAMA

Artikel Berkaitan