Gerhana matahari curi tumpuan penduduk Shah Alam

Penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang hanya berlaku setiap empat tahun.

Kira-kira 700 penduduk bandaraya ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang hanya berlaku setiap empat tahun sekali di perkarangan Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Pegawai Jabatan Mufti Negeri Selangor, Mohd Amin Hanafiah berkata, program ini adalah hasil kolaborasi bersama Masjid Negeri Shah Alam mendapat sambutan menggalakkan penduduk tempatan terutamanya dari pelajar sekolah yang menyertai Kelab Falak.

“Kita menjalankan program di sini kerana masjid ini merupakan tempat tumpuan orang ramai selain dari lokasinya yang strategik untuk melihat gerhana,” kata beliau.

Fenomena gerhana matahari terjadi apabila Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari.

Manakala gerhana matahari separa berlaku apabila 80 peratus dari permukaan bulan menutupi matahari.

Tambah Amin pula, untuk melihat fenomena ini, pihaknya menyediakan cermin mata khas yang dipanggil ‘Eclipse Shade’ yang diimport khas dari Amerika Syarikat.

“Cermin mata ini dilengkapi dengan lapisan sinaran UV khas untuk melindungi mata dari cedera ketika melihat gerhana,” katanya.

Turut mendapat perhatian orang ramai ialah tiga buah teropong jenis ‘Celeron’ yang disedikan khas untuk melihat gerhana matahari sepanjang program itu berlangsung.

Seorang penduduk, Muhammad Hamizan Jamil berkata, beliau sangat teruja ketika melihat gerhana tersebut.

“Apabila gerhana matahari berlaku, semua orang bertasbih serta memuji-muji nama Allah. Peluang ini sangat bernilai untuk saya dan orang lain supaya kita sama-sama mengingati kebesaran Allah S.W.T,” kata beliau.

Gerhana matahari separa dapat disaksikan hampir di setiap negara seluruh dunia dengan hanya di Indonesia dan Australia sahaja berpeluang melihat gerhana matahari penuh – Dimensi News

Artikel Berkaitan