‘Pesta makan sampai pengsan’ di Shah Alam

Sebahagian pegunjung yang hadir pada VFood Festival di Perkarangan Stadium Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

Penganjur festival fesyen atas talian terbesar di Malaysia, Vendeur Festival sekali lagi mencetuskan fenomena dengan penganjuran VFood Festival 1.0 di perkarangan Stadium Shah Alam, di sini.

Penganjuran selama dua hari bermula semalam, dijangka dikunjungi hampir 50,000 pengunjung.

VFood Festival menampilkan 160 vendor menjual pelbagai jenis makanan dan minuman dengan tema ‘pesta makan sampai pengsan’ selain turut menampilkan beberapa vendor fesyen.

Memilih Shah Alam sebagai lokasi pertama festival itu, pengurus projek Vendeur Resources Sdn Bhd, Nurerlin Md Zulkhairi berkata, bandar raya itu dipilih kerana ia adalah lokasi pertama Vendeur Festival yang anjurkan pada tahun 2014.

“Kami memulakan langkah pertama di sini dan memandangkan ini adalah kali pertama VFood Festival dianjurkan, kami ingin ulangi kejayaan yang sama dengan warga Shah Alam.

“Sambutan sangat bagus walaupun cuaca yang agak panas. Malah, ada vendor terpaksa tutup kedai awal kerana makanan sudah habis terjual,” katanya ketika ditemui di Perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

Nurerlin berkata, antara vendor makanan serta minuman yang menyertai VFood Festival kali ini adalah Berkambing, Drinka, Nasi Liwet, Tauhu Sumedang dan banyak lagi.

“Selain itu, jenama fesyen popular seperti Mumu Scarves, Nealofar Hijab, Ammararoses serta beberapa jenama lain pasti turut memeriahkan festival ini,” katanya sambil memberitahu festival itu akan berlangsung sehingga jam 10 malam ini.

Vendor yang menjual ais kepal serta churros, Irina Masela Nasruddin, 27, berkata, beliau tidak menyangka menerima sambutan menggalakkan sepanjang dua hari berkampung di perkarangan stadium untuk VFood Festival 1.0.

“Ini kali pertama saya menyertai festival makanan seperti ini, dan Alhamdulillah, melihat kepada sambutan yang saya terima, saya pasti akan menyertai festival seperti ini lagi jika diberi peluang.

“Tambahan pula, ramai pelanggan yang seusia ibu bapa saya menyukai ais kepal kerana menurut mereka, ia mengingatkan kepada zaman kanak-kanak mereka,” katanya.

Pengunjung, Mohd Faiz Md Khair, 29, berkata festival yang mengumpulkan ratusan vendor makanan dan minuman ini menarik kerana pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan unik pada satu tempat.

“Pengunjung terutamanya yang suka makan pasti seronok mencuba pelbagai jenis makanan di sini dan konsep ‘Street Market’ juga menjadikan festival ini lebih menarik.

“Selain itu, vendor juga boleh mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan