Penduduk Shah Alam terkejut dilanda hujan ais

Sebahagian ketulan kecil ais dikutip berikutan hujan tersebut yang melanda sekitar TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor, semalam

Penduduk di sekitar Taman Tun Dr. Ismail Jaya (TTDI Jaya) dan Bukit Jelutong hari ini dikejutkan dengan kejadian hujan ais sebesar ibu jari yang melanda kawasan mereka selama kira-kira 15 minit.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan orang ramai panik dan bergegas mengalihkan kereta masing-masing kerana bimbang hujan tersebut akan memecahkan cermin kereta.

Seorang peniaga di TTDI Jaya yang menyaksikan fenomena tersebut, Adnan Aladin, 30, berkata, hujan dalam bentuk ketulan ais kecil itu berlaku selama 10 hingga 15 minit ketika hujan lebat me­landa kawasan mereka kira-kira pukul 4.30 petang.

“Hujan ais itu mengeluarkan bunyi yang kuat selain turut menyebabkan alat penggera kebanyakan kereta berbunyi sehingga mengundang perhatian orang ramai yang bergegas keluar untuk me­nyaksikannya sendiri.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah terdengar bunyi yang kuat seperti batu dibaling ke kereta dan melihat orang ramai mula keluar,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang penasihat jualan di syarikat menjual kereta, Beshir Ibrahim, 30, pula berkata, dia sendiri terkejut dan bergegas keluar dari pejabatnya untuk cuba mengalihkan kereta.

“Sepanjang 17 tahun saya tinggal di sini, ini adalah kali pertama saya menyaksikan fenomena hujan batu ini.

“Meskipun terkejut, tetapi saya teruja dan menganggap ini sebagai satu pengalaman menarik. Difahamkan tidak ada kereta yang mengalami pecah cermin akibat hujan batu ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sharin Ahmad berkata, pihaknya menerima 10 laporan pokok tumbang akibat hujan lebat yang me­landa daerah itu hari ini.

“Kejadian pokok tumbang yang merintang jalan dilaporkan berlaku di Seksyen 9, 10, dan 12 manakala kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Seksyen 11, 13 dan 27.

“Pasukan Pantas MBSA dan kontraktor cantas pokok telah bergegas ke lokasi kejadian untuk memantau serta mengalihkan pokok tersebut demi keselesaan pengguna jalan raya dan orang ramai,” jelasnya.

Sumber: Utusan

Artikel Berkaitan